KESAKSIAN SAUDARI SOLEHAH

Assalamualaikum, saudara dan saudari yang dikasihi Tuhan!Nama saya Solehah, seorang Muslimah Melayu dari Semenanjung Malaysia. Keluarga saya keluarga Muslim yang cukup tradisional dan kuat pegangan agama Islamnya. Sejak awal-awal lagi saya telah diberi pendidikan keagamaan Islam yang mendalam bagi membentuk perwatakan saya sebagai seorang Muslimah yang cukup taqwa dan alim.

Pada peringkat sekolah rendah, saya juga dididik di sekolah madrasah dan bermuqaddam, mengaji dan telah mendalami rukun-rukun Islam serta al-Quran daripada ustazah-ustazah dan guru-guru agama Islam yang lain. Guru-guru agama saya telah mengajari saya bahawa ada saranan dalam Islam yang utamakan memperolehi ilmu walau pun terdapat di tempat yang cukup jauh seperti di negeri Cina.Dari itu, saya telah banyak membaca dan tidak segan menanyakan banyak soalan-soalan seringkali apabila saya kurang memahami sesuatu hal atau ajaran dan lain-lain isu dalam Islam.

Banyak kali, tabiat saya ini tidak menyenangkan ustaz-ustaz dan guru-guru agama saya! Tetapi, bukankah saranan Islam supaya kita menimba ilmu sebanyak mungkin, walau pun sampai ke negeri Cina? Jadi, saya telah menanyakan banyak perkara tentang Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang lain dalam Islam. Salah satu ‘Rasul’ yang saya paling minati ialah Sayidina Isa a.s., yang juga digelar ‘Al-Masih’ di dalam al-Quran. Oleh kerana Nabi Isalah yang paling menyerlahkan sifat-sifat pengasih dan penyayang serta perikemanusiaan yang insaniah di antara rasul-rasul yang lain, termasuk Muhammad, bagi saya. Saya telah menanyakan banyak sekali tentang Sayidina Isa al-Masih kepada guru-guru agama saya, sehingga salah seorang ustazah saya telah menasihatkan saya supaya saya JANGAN mengkaji atau membaca Surah Fasal 19 yaitu Suratul-Maryam dalam al-Quran (Surah ini mengandungi kisah Sayidina Isa yang agak ‘panjang’)! Saya pun hairan sekali. Kerana guru agama saya ini sedang cuba menggugat dan menghalang saya daripada menelaah tentang salah satu daripada enam Rasul Islam yang paling penting dan utama!

Malah, dia juga telah menegah saya daripada membaca Kitab Suci Injil, yakni ‘Al-Kitab/Bible (Bahasa Inggeris)’ umat Kristian. Saya pun terasa kejanggalan saranan beliau kerana halangannya bertentangan sekali dengan sikap ‘menimba ilmu’ yang kononnya dipelopori oleh agama Islam! Dengan ilmu ini, saya rasa, masyarakat majmuk dan ‘pluralis’ di tanah air Malaysia dapat menjambatani jurang kesefahaman di antara masyarakat yang berbilang kaum dan agama yang wujud dengan cukup ketara di sini! Lebih-lebih lagi, saranannya itu berbau merahsiakan sesuatu yang dia ingin sembunyikan daripada perhatian dan kajian saya. Ini bukanlah sekadar pengalaman saya seorang sahaja, tetapi boleh dikatakan rata-rata majoriti orang-orang Islam telah secara lumrahnya diberikan nasihat yang sama atau ditegah sama sekali daripada mengkaji agama-agama samawi seperti Kristian/Masehi pada hari ini.

Akhirnya, saya telah pun memperolehi sebuah Kitab Injil (Bible umat Kristian). Saya ingin mengkaji dan menyelidiknya, tetapi dengan sebuah minda yang terbuka dan tidak tercemar oleh pra-sangka prasangka dan buruk sangka lumrah yang ada dalam minda dan anggapan orang-orang Islam terhadap Kitab umat Kristian!  Saya sudah cukup mantap dengan cerita-cerita dan kisah-kisah Sayidina Isa dalam al-Quran, kitab saya sendiri sebagai seorang Muslimah.

Akan tetapi, apa yang telah saya dapati di dalam Injil, adalah jauh lebih lengkap dan rinci daripada kandungan kisah-kisah Sayidina Isa a.s. dalam al-Quran! Misalnya, al-Quran katakan bahawa Isa adalah hanya salah seorang Nabi dan Rasul Allah. Tetapi, Injil telah menyatakan bahawa, menurut sabda Sayidina Isa A.M.sendiri, baginda telah menyatakan bahwa Baginda (Isa) adalah jauh lebih besar daripada nabi-nabi Yunus dan maupun Nabi Sulaiman yang telah muncul sebelum kedatangan Isa Al-Masih! Lihat KSI, Matius 12 : 41-42.

Isa Al-Masih menyatakan bahawa Baginda pun sudah wujud dan ada bersama-sama dengan Allah s.w.t. SEBELUM LAHIRNYA NABI IBRAHIM.A.S di dunia! Kewujudannya ini bukanlah hanya sekadar sebagai ‘buah fikiran’ Allah swt, tetapi sesungguhnya Al-Masih telah wujud sebagai ‘Kalimat Allah’ yaitu Firman  dan Sabda Allah sendiri yang ada pada Diri Allah, dari azaliah, serta tidak pernah berpisah daripada Allah s.w.t. pada waktu apa pun!

KSI, Yohanes 8: 57-58, Yohanes 1 :1-4, 14.

Islam mengajari bahawa utusan dan risalah Nabi Isa adalah hanya untuk umat Israel sahaja. Sayidina Isa sendiri telah bersabda :

“Saya mempunyai domba-domba – yakni pengikut-pengikut lain, yang BUKAN DARI KAWANAN INI (Yaitu Bani Israel) [atau di luar dari umat Israel!] – Saya harus menjangkau dan membawa mereka kembali kepada saya, dan mereka akan menjadi pengikut-pengikut Aku juga!”

Injil, Yohanes 10: 16.

Sayidina Isa Al-Masih Sendiri telah berkata – Dialah satu-satunya yang telah NUZUL [Turun] dari Syurga sebagai anugerah rahmat dan penyelamatan Allah swt untuk SEMUA Manusia :

Saya telah Turun – Nuzul, dari Syurga untuk menyempurnakan kehendak Allah..

Yohanes 6:38

“Dan inilah kehendak Allah: Bahawasanya sesiapa pun yang melihat Kalimatullah (Putra-Nya Isa Al-Masih), serta meyakini akan Dia, akan mendapat kehidupan kekal abadi. Saya Sendiri (Sayidina Isa Al-Masih) akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat.”

Yohanes 6: 40

“Sayalah ‘Roti Hidup’ itu yang telah NUZUL-TURUN dari Syurga,  sesiapa pun yang jamah roti ini akan hidup selama-lamanya (memperolehi kehidupan kekal syurgawi), rotinya ialah tubuh-Ku, yang di berikan kepada Manusia supaya mereka tidak akan dimusnahkan..”

Yohanes 6: 51

Juga pernyataan Baginda seperti berikut:

“Kerana hanya SAYALAH, YANG TELAH TURUN DARI SYURGA dan akan bangkit kembali ke sana semula..”

    Yohanes 3 : 13

Menurut  Islam, kononnya Isa tidak wafat di atas Salib. Tetapi Isa sendiri telah mengucapkan dan menubuatkan SEBALIKNYA, menurut kata-kata Baginda sendiri:

 “Sayidina Isa Al-Masih memberitahukan pengikut-pengikutnya (para hawariyun) secara langsung dan dengan jelas bahawa Baginda harus pergi ke Yerusalem (Baitul-Muqqadis) dan apa yang akan terjadi kepada-Nya di sana. Baginda akan harungi sengsara di tangan para pemimpin di situ, dan juga di tangan ketua-ketua agama. BAGINDA AKAN DIBUNUH, DAN tiga hari kemudian, dia akan di bangkitkan semula.”

Kitab Suci Injil, Matius 16 : 21, Juga di Markus 8 : 27ff dan Lukas 9: 18ff.

Semua ini sejajar dan sesuai sekali dengan sabda Sayidina Isa yaitu:

“Saya tidak turun ke dunia ini untuk dilayani, tetapi untuk melayani orang-orang lain, DAN UNTUK MEMBERI NYAWA SAYA SEBAGAI SATU KORBAN YANG AKAN MENEBUSKAN BANYAK JIWA-JIWA.

Matius 20: 28

Maksud pengorbanan Isa Al-Masih ini juga amat jelas dari kata-katanya – yakni pengorbanan NYAWA Baginda sendiri :

“Tidak ada Kasih sayang yang melebihi ini: yaitu untuk seorang mengorbankan nyawanya sendiri bagi pihak sahabat-sahabatnya! Kamu semua adalah sahabat-sahabat-Ku jika engkau mematuhi perintah-perintah-Ku!”

Yohanes 15 : 13, 14

Serta :

“Aku adalah Gembala yang Baik; Aku kenali domba-dombaku dan mereka kenali aku, sama seperti Bapa-Ku kenali aku dan aku kenali-Nya. DAN SAYA KORBANKAN NYAWA-KU UNTUK DOMBA-DOMBA AKU. Saya miliki domba-domba yang lain juga, YANG DILUAR KAWANAN INI, saya harus mengumpulkan mereka juga, dan mereka akan kenal suara aku..”

Yohanes 10: 14-16

Umat Islam seringkali menuduh-nuduh umat Kristian kononnya mereka telah ‘mendewakan’ / ‘mentuhankan’ Sayidina Isa A.M. Tetapi ini juga adalah tuduhan palsu dan tidak berasas, sekali lagi!

Dalam Kitab Suci Injil, sekali lagi, kita dapat mencari apa yang Sayidina Isa sendiri telah berucap dan berkata-kata kepada khalayak ramai di muka umum, tentang Dirinya sendiri. Sebagai contoh, Baginda telah berucap seperti berikut:

“Philip, tidakkah engkau kenal SIAPA DIA AKU? Semenjak waktu permulaan Aku telah bersamamu? Sesiapa yang telah melihat Aku, sudah pun mengenal (melihat) Allah Bapa (yaitu Tuhan Allah)!

Yohanes 14 : 9

Dan juga:

“Allah Bapa dan Saya adalah SATU..”

Yohanes 10 : 30

Serta :

“Sadarilah bahawa Allah adalah di dalam Aku, dan Aku sendiri adalah di dalam Allah Bapa.”

Yohanes 10: 38

Jadi, sudah amat jelaslah bahwa Sayidina sendiri telah menyatakan bahawa diriNya adalah SATU dengan Tuhan Allah. Ini bukan dari kata-kata mana-mana manusia yang lain, selain dari bibir Sayidina Isa A.M. sendiri!

Dari itu, ada juga ramai polemis Islam yang telah cuba mencurigakan kesahihan Kitab Suci Injil pula! Kepada mereka, saya syorkan bahawa semua hujah-hujah dan usul-usul tuduhan mereka sudah pun ditangkis dan telah disangkal secara ilmiah dan berdasarkan fakta-fakta ilmiah.

Para pembaca dijemput untuk mengkaji dengan teliti dan hati-hati makalah-makalah dan dalil-dalil di link ini:

KESAHIHAN AL-KITAB DAN KITAB SUCI INJIL

Lewat satu malam, setelah saya dapat membaca kedua-dua al-Quran dan Injil, di kamar Hotel saya di pantai Timur Malaysia, saya terasa terharu dan membuka Al-Kitab / Kitab Suci Injil sekali lagi, sebaik sahaja saya telah renungi kandungannya, rasa aman-damai telah datang serta menenangi jiwa dan raga saya. Ini bukan secara kebetulan sahaja! Beberapa hari sebelum itu, saya telah mengalami pengalaman yang sama juga. Setiap kali saya buka dan menelaah Kitab Suci Injil itu, perasaan damai sejahtera sentiasa menenangi jiwa saya! Tetapi apabila saya cuba membaca dan telaah al-Quran, perasaannya sangat bertentangan sekali! Selalunya perasaan keresahan, gelisah dan tidak senang hati merupakan pengalaman yang lumrah bagi saya.Ini terjadi walaupun saya telah berwuduk dan ‘menyucikan’ diri sebelum menyentuh kitab Suci al-Quran saya itu.

Pada waktu malam yang indah itu pula, angin laut sepoi-sepoi bahasa mendinginkan suasana di bilik Hotel kami, saya telah membaca Al-Kitab sekali lagi, dan kali ini, saya telah merasa keyakinan dalam hati saya yang semakin mendadak, saya diyakinkan bahawa malam itulah malam penentuan bagi saya. Tidak syak lagi, saya telah serahkan diri saya kepada kuasa Allah dan Sayidina Isa Al-Masih yang saya peluki sebagai penyelamat saya dari segala dosa-dosa saya dan junjungan saya yang sebenar!

Selepas itu, saya telah pun memberitakan hal ini kepada suami saya, dan dia juga telah menerima hakikat dan risalah Sayidina Isa Al-Masih  untuk dirinya sendiri! Halleluyah! Segala pujian dan kemuliaan kepada Allah! Pada hari ini, saya dan anak-anak saya sudah pun bertaubat dan mereka juga sudah menyerahkan kehidupan, masa depan mereka di dunia dan di akhirat ke dalam tangan Allah SWT yang juga Allah Bapa mereka, melalui junjungan Sayidina Isa Al-Masih yang sejati dan yang sebenar!

Semoga Allah sendiri akan mencelikkan mata dan hati anda semua kepada siapakah Sayidina Isa A.M yang sebenar itu bagi anda sekalian!

Sekian, Wasallaam.