KESAKSIAN SAUDARI SHARIFAH

Kita diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini dengan tujuan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa dan mentaati segala perintahNya serta meninggalkan segala laranganNya. “Islam” ertinya taat dan patuh serta menyembah Tuhan yang Esa. Bagi menyempurnakan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini Tuhan yang Maha Kuasa telah menghantar utusan demi utusan berserta dengan Kitab-KitabNya untuk membimbing dan membantu khalifahNya agar dapat menjalani kehidupan yang direstui olehNya.

Menurut kefahaman Islam, Islam adalah agama yang sempurna; “Innaddinn aindallah hilislam”, dan Al-Quran adalah Kitab yang lengkap serta sempurna dan di dalam kesempurnaannya itu Al-Quran juga mengalakkan dan tidak melarang orang-orang Muslim supaya merujuk kepada Kitab-Kitab lain yang terdahulu sebelum Al-Quran.

Bagi seseorang yang ingin mendapatkan pengetahuan dengan lebih lanjut tentang ajaran-ajaran Tuhan, Al-Quran tidak dapat memberikan maklumat yang secukupnya. Oleh kerana itu, dengan keizinan yang telah diberikan di dalam Islam, umatnya diminta supaya merujuk kepada Kitab-Kitab lain. Sebagai contohnya seperti yang nabi Muhammad katakan untuk mengetahui tentang ajaran semua nabi haruslah merujuk kepada Kitab-Kitab lain kerana terdapat cerita yang tidak lengkap di dalam Al-Quran seperti cerita mengenai Isa Al-Masih. Mengapa sedikit sahaja cerita mengenainya? Ini adalah kerana Muhammad mengetahui bahawa semua cerita tentangnya telah ditulis di dalam Injil. Jadi cerita mengenainya tidak perlu diulangi lagi. Begitu juga dengan ajaran nabi Musa, ianya tidak perlu diulangi kerana ianya telah ditulis di dalam Taurat. Oleh itu orang Islam tidak perlu menghadkan pengetahuan mereka dengan merujuk kepada Al-Quran sahaja kerana Kitab-Kitab lain juga dibenarkan untuk dijadikan rujukan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang Islam yang sempurna, marilah Kita sama-sama mendengar kisah menarik ini dari seorang anak melayu yang berasal dari Malaysia.

Nama saya Sharifah. Saya telah dilahirkan dan dibesarkan dengan cara kehidupan Islam yang sepenuhnya. Apabila saya meningkat remaja, saya cuba mendalami agama Islam dan menanamkan semangat jihad di dalam diri saya. Saya cuba menerangkan apa sebenarnya maksud ‘Islam’ kepada orang-orang bukan Islam khususnya Kristian dan cuba memancing perhatian mereka kepada Islam. Bagi saya, Islam adalah agama yang sempurna, lengkap dan universal.

Saya mula mendalami Islam dengan lebih mendalam agar saya dapat menyampaikan ‘keindahan’ Islam kepada kawan-kawan Kristian saya. Namun sebaliknya timbul beberapa persoalan dan ketidakpuasan hati saya terhadap soalan dan juga jawapan-jawapan yang diberikan oleh mereka. Kelogikan jawapan yang diberikan oleh mereka menimbulkan keraguan di hati saya. Bermula dari saat itulah saya mencari jawapan yang pasti tentang persoalan dalam diri saya sendiri. Siapakah sebenarnya Isa Al-Masih yang akan menghakimi Kita nanti?

Saya berusaha untuk mendapatkan jawapan yang tepat dengan bertanya kepada beberapa orang yang alim di dalam Islam mengenai Isa Al-Masih dan ajaran-ajaran Kristian. Namun mereka mengatakan bahawa saya tidak perlu belajar tentang agama Kristian dan bertanya kepada saya apakah saya ingin menjadi murtad? Oleh kerana saya tidak mendapat jawapan yang saya kehendaki, maka saya mencarinya sendiri dengan mengkaji dengan lebih lanjut tentang Al-Quran dan juga Injil. Setelah saya membuat perbandingan di antara kedua-duanya, maka saya mendapat beberapa jawapan mengenai siapa sebenarnya Isa Al-Masih di dalam Al-Quran dan Injil.

Di dalam Injil, Yohanes 14:6 Isa berfirman “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun yang dapat datang kepada Allah kalau tidak melalui Aku”. Ayat ini jelas dan sering menghantui saya kerana di dalam surah Al-Fatihah1:6 “Ihdinasyiraatallmustaqiim” yang bermaksud ‘tunjukkanlah aku jalan yang lurus’. Setiap kali waktu saya sembahyang, saya membaca ayat ini untuk meminta petunjuk agar ditunjukkan jalan yang lurus. Namun Yoh 14:6 tadi telah menjelaskan bahawa Isa Al-Masih adalah jalan yang lurus. Jadi tidak perlu saya mencari jalan yang lain untuk mengenali Tuhan secara dekat. Dari saat inilah fikiran saya mula bercelaru. Saya merasa sangsi dengan apa yang telah saya buat selama ini. Saya juga mula meragui kenyakinan saya.

Saya juga menemui surah Al-Nisa’ 171 yang bermaksud Isa anak Maryam adalah utusan Allah dan FirmanNya. Bila saya melihat perkataan ‘kalimatullah’ yang bermaksud kalimat Allah atau FirmanNya, saya percaya Isa Al-Masih adalah Firman Allah. Sifat-sifat Allah adalah Dia berfirman! Siapakah Isa Al-Masih kalau Dia adalah Firman Tuhan? Adakah Dia Allah? Sebab bagi saya Firman Allah tidak boleh dipisahkan daripada Allah. Untuk mendapat kepastian saya membaca surah Al-Imram 45 yang bererti ‘Wahai Maryam, Allah telah memberikan kamu berita gembira dengan FirmanNya, namaNya ialah Isa Al-Masih anak Maryam, yang mendapat segala kemuliaan di dunia dan di akhirat dan juga merupakan seorang yang terdekat dengan Allah!’. Jadi memang benarlah Isa Al-Masih adalah orang yang terdekat dengan Allah kerana Dia sendiri merupakan Firman Allah. Saya juga menemui ayat yang menerangkan siapa sebenarnya Isa Al-Masih di dalam Injil Yoh 1:1,14 “Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada, dan Firman itu bersama Allah. Dan Firman itu sama dengan Allah. Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal di antara Kita.

Di dalam surah Az-zukhruff 61 yang berbunyi ‘ Dan (Isa) akan memberi tanda (untuk datang) pada waktu (pengadilan) : Di sana tidak ada keraguan tentang (waktu), tetapi ikutlah Aku, inilah jalan yang lurus’. Surah Az-zukhruff 63 pula berbunyi ‘apabila Isa datang dengan tanda yang jelas, Dia berkata : “Sekarang Aku datang kepadamu dengan kebijaksanaan dan membuatkan kamu jelas tentang sesuatu perkara yang kamu bertelagah. Takutlah kepada Tuhan dan ikutlah Aku!”. Ayat ini mengambarkan akan kedatangan Isa Al-Masih. Selanjutnya siapakah Isa Al-Masih yang berkuasa ke atas maut? Di dalam Injil, Yoh 5:24 berbunyi :’Sungguh benar kata-kataKu ini, sesiapa yang mendengar kata-kataKu ini dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku, beroleh hidup sejati dan kekal. Dia tidak akan dihukum melainkan sudah terlepas daripada kematian dan mulai benar-benar hidup!’

Ayat-ayat di atas telah membantu menyakinkan diri saya dan dengan penuh keberanian akhirnya saya mengambil keputusan untuk memilih jalan yang lurus ini dan di dalam hati, saya yakin bahawa Isa Al-Masih adalah jalan yang benar untuk ke Syurga dan kepada Allah. Di dalam 1 Korintus 8:6 “Tetapi bagi Kita Allah hanya satu. Dia Allah yang menciptakan segala sesuatu dan untuk Dialah Kita hidup. Tuhan hanya satu juga iaitu Isa Al-Masih, melalui Dia segala sesuatu diciptakan dan kerana Dialah Kita hidup.

Selepas saya mempercayai Isa Al-Masih, saya dapat merasai ketenangan jiwa. Kalau sebelum ini jiwa saya bercelaru, penuh dengan persoalan, kini saya bebas dari perasaan itu. Saya sudah mendapat jawapan yang sebenarnya. Ayat-ayat di atas benar-benar telah menyakinkan saya bahawa Isa Al-Masih adalah Penyelamat saya dan saya tetap seorang penyembah kepada Allah yang Maha Esa.

Doa saya bagi setiap orang Islam, beranikanlah hatimu untuk mengenal pasti siapa Isa Al-Masih. Saya yakin anda akan menemui kebenaran, jawapan dan hidup yang kekal.

Assalamualaikum warahmatullahi wa barokatuh…

Sharifah tidak merasa ragu atau takut untuk membaca Injil apabila dia mempunyai persoalan tentang penyelamatannya, sebab dia tahu Al-Quran tidak melarangkan dia daripada berbuat demikian. Apa yang terjadi kemudiannya adalah beliau telah mendapat jawapannya dan menemui kebenaran yang lebih lengkap dan pengetahuan tentang Allah dan Isa Al-Masih dengan lebih sempurna. Dia tahu bahawa jalan yang lurus memang ada dan bahawa jalan yang lurus itu bukan apa, atau di mana, tetapi siapa. Dia ialah Isa Al-Masih. Setelah merasa begitu pasti Sharifah telah mengambil keputusan nekad untuk mengikut Dia.

Di dalam Injil Rom 1:16-17; ‘Injil adalah kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Isa Al-Masih. Injil juga menunjukkan cara bagaimana hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula iaitu melalui kepercayaan kepadaNya iaitu Isa Al-Masih.

Marilah kawan-kawanku, jangan lepaskan kesempatan untuk menemui kebenaran dan penyelamatan. Bacalah Injil dan percayalah kepada Isa Al-Masih.